Labels

Tuesday, June 26, 2012

Kemelut Ekonomi masakini



Bukan senang hendak memperjelaskan kepada orang awam berkenaan permasalahan ekonomi semasa yang melanda Dunia Barat kini. Malah ketika mana mereka dikejutkan dengan penjelasan yang jujur daripada seorang pemain saham amatur, rata-rata melihatnya ianya merupakan satu lagi gerak kerja “nakal” kumpulan Yes Man – satu kumpulan yang sering menyamar sebagai golongan profesional dalam bidang perniagaan untuk muncul dalam kaca televisyen bagi membongkarkan salah laku syarikat-syarikat besar di United Kingdom.


Malangnya, dakwaan yang mengatakan Alesio Rastani, pemain saham amatur yang muncul di kaca televisyen rancangan BBC News pada 26 September lalu sebagai salah seorang dalang Yes Man telah disangkal sendiri oleh kumpulan tersebut. Malah siasatan lanjut oleh pihak BBC membuktikan bahawa Rastani benar-benar seorang pemain saham amatur yang tahu apa yang dibicarakannya. Ternyata kenyataan Rastani yang menimbulkan kejutan bahawa “kerajaan tidak memerintah dunia, Goldman Sachs yang memerintah dunia” tersebut adalah satu pengakuan yang teramat  jujur daripada seorang orang dalam (insider) yang saban hari bergelumang dengan pasaran kewangan (financial market) yang amat berpengaruh dalam menentukan paras kesihatan ekonomi negara-negara dunia.

Pengakuan jujur sebegini telah “disensasikan” lagi oleh media massa Britain dengan siasatan terperinci yang dilakukan terhadap Rastani dengan menyemak latar belakang kehidupan dan kerjaya beliau sebagai seorang pemain saham amatur di London. Tindakan ini seterusnya telah menenggelamkan isu pokok yang diutarakan oleh Rastani tempoh hari berkenaan siapa sebenarnya yang paling berkuasa – Kerajaan atau Industri Kewangan? Apakah sifat asasi sistem ekonomi moden itu senantiasa rapuh? Sepatutnya persoalan sebeginilah yang perlu dibahaskan oleh para cendekiawan dalam pelbagai bidang berhubung pengakuan Rastani tersebut.

Apa yang Rastani telah dakwakan bukanlah sesuatu yang baharu belaka. Malah 20 tahun lalu lagi, masyarakat di Barat sudah disajikan dengan filem-filem dan buku-buku yang membongkarkan kehidupan sebenar para pemain saham di Wall Street. Filem-filem yang telah menempa nama dalam tema sebegini seperti Wall Street (1987), Barbarians at the Gate (1993), dan Boiler Room (2000) sedikit sebanyak telah menzahirkan keadaan sebenar yang berlaku dalam industri kewangan di Barat khususnya di Amerika Syarikat.

Buku-buku yang terkenal karangan bekas orang dalam pasaran kewangan, Michael Lewis seperti Liar’s Poker (1989) dan The Big Short: Inside the Doomsday Machine (2010) turut sama membongkar budaya penipuan dan tamak haloba yang menjadi teras dalam sistem kewangan moden khusus di Dunia Barat. Malah sebaliknya dikatakan juga buku Liar’s Poker Michael Lewis itu turut sama dijadikan buku panduan buat para pemain saham amatur dalam cuba membina kerjaya mereka sebagai pemain saham yang disegani di Wall Street.

Pengakuan jujur Rastani yang mengatakan “sesiapa sahaja boleh buat keuntungan ketika berlaku krisis” juga bukanlah sesuatu yang baru. Apa yang Rastani jelaskan itu tidaklah sama dengan salah tanggapan terkenal berkenaan perkataan Mandarin, wei ji, yang membawa dua makna “krisis” dan “peluang” yang sering dijaja oleh pakar motivasi tidak kurang juga ahli politik khususnya di Dunia Barat, tapi lebih kepada apa yang dijelaskan tokoh ekonomi kapitalisme, Joseph Schumpeter sebagai “kemusnahan kreatif” (creative destruction). Schumpeter sendiri yang mengutip konsep ini daripada Karl Marx yang terkenal dengan adi karyanya Das Kapital, mengusulkan teori ini dalam kerangka faham neo-liberal yang pro-pasaran bebas (free market) telah banyak mempengaruhi cara berfikir para pemain ekonomi masa kini, dan Rastani adalah salah satu contoh yang memahami hakikat sistem ekonomi moden sebagai satu sistem tidak stabil yang penuh dengan peluang untuk membuat duit (profiteering) hatta tatkala dampak pada masyarakat sangat berbisa kesannya.

Kesalah fahaman konsep “kehancuran kreatif” yang dijelaskan Marx telah mengaburi teori beliau yang lebih penting dalam Das Kapital iaitu akan hakikat sistem ekonomi moden-kapitalisme itu sememangnya bersifat “kreatif-musnah” (creative-destructive) yang lebih dahsyat daripada apa yang disangkakan secara amnya. Beza faham ini seperti yang dijelaskan ahli kaji masyarakat Marxist terkemuka, David Harvey:
Karl Marx dan Joseph Schumpeter menulis panjang lebar berkenaan sifat “kreatif-hancur” yang wujud dalam sistem ekonomi kapitalisme. Walaupun jelas Marx mengkagumi sifat kapitalisme yang kreatif itu, beliau lebih menekankan perihal bahaya sistem tersebut yang bersifat “hancur-kendiri” (self-destructiveness). Peminat Schumpeter juga telah lama mengangkat dan membanggakan sifat kreatif kapitalisme tetapi pada masa yang sama melihat dan mengaggap sifat kehancuran itu sebagai hanyalah salah satu kos yang timbul dalam aktiviti perniagaan.
Iktibar Daripada Sejarah 

Teori sifat ketidak-stabilan sebegini bukanlah dibentuk melalui andaian ilmiah semata. Andai kita telusuri sejarah pembentukkan sistem ekonomi moden, ternyata banyak rentetan peristiwa penting dalam lipatan sejarah Ketamadunan Barat yang mengukir dan mengabsahkan teori Marx itu sendiri. Sebelum Dunia Barat menjadi seperti apa yang ada pada hari ini, mereka senantiasa bertelagah antara satu sama lain berhubung dengan mazhab agama Kristian (Katolik lawan Protestan) juga berhubung dinasti beraja (Habsburg di Austria, Bourbon di Perancis, Tudor di England). Sudah tentu pertelagahan yang selalunya berlanjutan menjadi peperangan yang panjang seperti Revolusi Perancis (1789-1799), Peperangan Waterloo (1815), Perang Saudara Inggeris (1642-1651) Perang Bunga Ros (1455-1487)  seperti ini memerlukan dana yang banyak dan rata-rata dinasti raja Eropah kerap kali mengalami situasi ekonomi yang sangat daif kerana kehabisan wang yang banyak digunakan untuk membiayai siri peperangan tersebut.

Keadaan seperti “kemusnahan kreatif” inilah yang menjadi sasaran ahli kewangan seperti Nathan Mayer Rothschild yang terkenal sebagai salah satu Dinasti Perbankan terbesar dan paling berpengaruh di dunia sehinggalah hari ini.

Dalam karya sejarah ekonomi dan kewangan terbaru ahli sejarah British terkenal, Niall Ferguson yang bertajuk The Ascent of Money: A Financial History of the World banyak menceritakan perihal kewangan, hutang dan perbankan dalam sejarah dunia. Antara pemain utama yang menjadi sebutan sejarah Barat akan kemelut ekonomi ialah keluarga Rothschild yang mempelopori dan menguasai bank-bank utama di Eropah semenjak zaman Pertengahan lagi. Ferguson yang juga telah menulis biografi sejarah Keluarga Besar Rothschild, telah membuktikan akan peranan utama ahli perbankan seperti Nathan Rothschild dalam membantu Duke of Wellington untuk mengalahkan Maharaja Napoleon di Waterloo. Pengaruh dan kekuatan kewangan yang dimiliki Keluarga Rothschild sering kali menjadikan mereka sebagai pembiaya kepada kedua-dua belah pihak seperti yang berlaku dalam Peperangan Waterloo – antara British dan Perancis. Ini tidak mustahil berlaku kerana Keluarga Rothschild itu sendiri sudah tersebar luas di merata Eropah mendirikan bank-bank mereka sendiri seperti Nathan yang berpusat di London, Amschel di Frankfurt, James di Paris, Carl di Amsterdam dan Salomon yang bergerak bebas di merata benua Eropah. Setiap peristiwa duka dan tragedi perbalahan, peperangan antara kuasa-kuasa besar Eropah, disitulah peluang yang timbul – sama ada secara langsung atau tidak, Keluarga Rothschild sentiasa berada di hadapan dari segi mengetahui berita dan maklumat penting berhubung situasi politik dan ekonomi di seluruh benua Eropah sehingga seorang penyajak Jerman, Heinrich Heine yang hidup ketika itu secara menyindir mengatakan “Duit adalah tuhan waktu ini, dan Rothschild adalah nabi-nya”.

Sifat sejarah ini kembali berulang tayang pada abad ini dalam bentuk baharu seperti yang telah dikupas panjang oleh Naomi Klein dalam karyanya The Shock Doctrine: The Rise of Disaster Capitalism dan juga John Perkins dalam Confessions of An Economic Hitman turut sama menjelaskan bahawa faham neo-liberalisme ekonomi di Barat amat bergantung harap kepada malapetaka manusiawi seperti peperangan, kebuluran, dan bencana alam yang acap kali boleh kita simpulkan berpunca daripada salah-laku manusia itu sendiri (manufactured problems) yang rakus menimbulkan ruang dan peluang baru untuk golongan kapitalis, pedagang matawang dan pemain saham menjadi lintah darat kepada mangsa-mangsa keadaan.

Perbankan Islam Turut Terperangkap

Ahli ekonomi Islam dari George Washington University, Profesor Hossein Askari merungkai kemelut sama yang telah melanda disiplin ilmu dan sektor perbankan Islam.  Menurut beliau walaupun banyak bank menzahirkan bahawa produk kewangan mereka memenuhi tuntutan Shari‘ah, mereka masih tidak menawarkan produk yang benar-benar tepat memenuhi prinsip Shari‘ah. “Apa yang anda lihat pada hari ini bukanlah kewangan Islam. Banyak bank tidak mempunyai bahagian yang melibatkan perkongsian risiko. Pelabur mahukan bon, dan bank menghasilkan sesuatu yang menyerupai bon tetapi mereka tetap kata ianya bukan bon.” Bon yang merupakan sejenis pinjaman yang mana peminjam bersetuju untuk membayar kadar faedah (interest) dalam erti kata lain riba’. Dengan menawarkan sukuk yang dijoloki sebagai “bon yang Islami” tetapi masih menunjukkan sifat seperti bon (yang mana mereka masin tegas mengatakan ianya bukan bon). Kata Dr. Askari secara sindiran bahawa sukuk ini seperti “hijab yang telus”.

“Bon yang telah menzahirkan pulangan secara tetap adalah salah di sisi Shari‘ah dan itulah sifat perbankan Islam kini. Duit tidak boleh menghasilkan duit. Duit perlu dilaburkan ke dalam projek yang benar, di mana kadar pulangan bersifat tidak pasti” tambah Dr. Askari.

Seperti yang dilaporkan oleh The Economist, dengan kewujudan perbankan Islam, bank telah mewujudkan pasaran sukuk yang bernilai USD 882 bilion (RM 2.64 Trilion). Tidak hairanlah berbondong-bondong manusia baik Muslim atau bukan Muslim terjun ke dalam pasaran sebegini. Apabila Dr. Askari ditanya oleh seorang pemberita CNBC berkenaan nasib ekonomi Dubai yang cukup bermasalah walaupun pada dasarnya sepatutnya ada prinsip perkongsian risiko dalam amalan ekonomi mereka, Dr. Askari menjawab bahawa sistem ekonomi dan kewangan Dubai hanyalah bersifat-iras Shari‘ah (Shari’ah-style) tetapi tidak berlandaskan Shari’ah (not Shari‘ah-based) yang mana para pelabur langsung tiada pertalian langsung dengan projek-projek yang telah mereka melabur dan mereka menganggap akan memperolehi kadar pulangan yang tetap dan fahami bahawa tiada sebarang risiko dalam pelaburan-pelaburan tersebut.

Lebih menyedihkan kata Dr. Askari, pengabsahan produk-produk sebegini mendapat pengesahan daripada ulama’ yang duduk dalam lembaga pengarah (sudah tentu mereka dibayar jutaan ringgit setiap tahun) yang kadang kala lebih daripada satu bank dan ini sebenarnya menimbulkan persoalan konflik berkepentingan (conflict of interest). Dr. Askari menunding kembali kepada krisis ekonomi dan kewangan di Dubai yang mana pada awalnya bila mana bank telah membuat banyak keuntungan dengan keengganan untuk mengaku bahawa produk mereka yang kononnya berlandaskan Shari‘ah itu tidak mengamalkan riba’, tetapi bila mana berlaku kemelesetan ekonomi (economic meltdown) para pelabur itu kaget dan melukut meminta untuk diselamatkan daripada terjejas teruk (bailed out). Kata Dr. Askari ini adalah satu ironi kerana jikalau benar pelaburan yang mereka buat itu benar-benar berlandaskan Shari‘ah, para pelabur itu patut tahu berkenaan peluang mereka sama ada untuk mendapat keuntungan atau kerugian dalam pelaburan tersebut.

Peristiwa sebegini benar-benar telah membuka tembelang sistem yang dinamakan perbankan Islam tetapi pada hakikatnya telah tersadung dalam sistem perbankan konvensional yang diketahui umum mempunyai masalah yang bersifat sistemik. Sudah sampai masanya pemimpin dan ilmuan Muslim kembali merenung dengan mendalam akan gagasan Pengislaman Ilmu Kontemporari yang pada asasnya mampu menawarkan penawar jangka panjang yang lebih syumul (menyeluruh dan lengkap) khususnya bidang ilmu ekonomi yang semakin tenggelam dalam krisis yang melanda teruk di dunia Barat khususnya Eropah.


BERKAITAN:

HAKIM

No comments: