Labels

Thursday, June 21, 2012

Syaaban dan kelebihannya

Syaaban mempunyai keistimewaan tersendiri dalam Islam. Rasulullah mencintai bulan Syaaban. Baginda banyak berpuasa sunat pada bulan ini. Rasulullah melakukannya bagi menjadi contoh kepada umatnya.

Selain memperbanyakkan amal kebajikan pada bulan ini, ia adalah latihan rohani ke arah mempersiapkan diri menyambut kedatangan Ramadan.

Saidatina Aisyah melaporkan, “Rasulullah sering berpuasa sehingga kami berkata: Sesungguhnya Baginda berpuasa dan Baginda berbuka sehingga kami mengatakan Baginda berbuka. Saya tidak pernah melihat Baginda berpuasa sebulan lebih banyak daripada puasa Baginda pada bulan Syaaban. Kadang-kadang, Baginda berpuasa Syaaban sebulan penuh dan kadang-kadang Baginda berpuasa sedikit daripadanya.” (Direkodkan oleh Muslim)
Keistimewaan bulan ini adalah amalan seluruh manusia diangkat untuk dihadapkan kepada Allah. Maka sewajarnya sepanjang bulan ini diisikan dengan amal ibadat dan kebajikan. Antara amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah memperbanyakkan puasa, bertaubat dan beristighfar, memperbanyakkan zikir dan doa.

Rasulullah pernah ditanya mengapa Baginda melebihkan bulan Syaaban berbanding bulan lain lalu Baginda berkata, “Bulan itu (Syaaban) yang berada di antara Rejab dan Ramadan adalah bulan yang dilupakan manusia dan ia adalah bulan yang diangkat padanya amal ibadat kepada Tuhan sekalian alam, maka aku suka supaya amal ibadatku diangkat ketika aku berpuasa.” (Hadis direkodkan oleh Nasaie)

Pertengahan Syaaban atau lebih dikenali sebagai Nisfu Syaaban mempunyai kelebihan tersendiri. Dalam hadis sahih, Muaz bin Jabal melaporkan Rasulullah berkata, “Allah menjenguk datang kepada semua makhluknya pada malam Nisfu Syaaban, diampunkan dosa sekalian makhluknya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan.” (Hadis direkodkan oleh Ibn Majah, Tabrani dan Ibn Hibban).

Islam mengajar umatnya menjaga dan menggunakan masa dengan beriadah kepada Allah dalam apa juga bentuk ibadat sama ada ibadat khusus mahupun umum. Islam mahu melahirkan umat yang berkualiti dalam ibadat, masa dan pekerjaan.

Rasulullah menggalakkan kita supaya melakukan kebaikan terutama ibadat khusus seperti solat sunat, puasa sunat dan sedekah secara berterusan walaupun sedikit.

Baginda sendiri bukan saja kuat beribadat khusus, memohon keampunan, malah Baginda juga sebagai bapa, suami, ahli masyarakat dan paling besar adalah sebagai pemimpin negara serta ummah. Semuanya dikira ibadat jika dilakukan mengikut syariat Islam.

BERKAITAN:

ARKIB BERITA HARIAN

No comments: