Blog ini adalah luahan minda insan biasa. Segala pandangan adalah pandangan peribadi
Thursday, June 21, 2012
Kerjasama MAS dan AirAsia
Kedua-dua syarikat penerbangan terkemuka Asia itu telah menggantungkan sementara urus niaga saham masing-masing.
Pertukaran saham antara MAS dan Air Asia dikatakan telah mengakibatkan kemerosotan semangat bekerja di kalangan kakitangan MAS sehingga menjejaskan pemulihan syarikat penerbangan nasional itu.
Oleh itu, tidak hairanlah jika pertukaran saham itu bakal ditarik balik demi pemulihan MAS.
Walau bagaimanapun, kolaborasi ataupun kerjasama tersebut dilihat masih relevan dan perlu diteruskan memandangkan ia adalah antara langkah yang akan meletakkan semula MAS di landasan menjana keuntungan.
Kerjasama antara dua syarikat bukanlah satu perkara yang baru.
Sejarah dunia perniagaan misalnya menunjukkan bahawa syarikat terkemuka dunia, Apple Inc, pernah rugi berbilion dolar serta diancam bankrap pada tahun 1997 berbanding pesaingnya, Microsoft, yang mencatat keuntungan yang tinggi dan kedudukan kewangan yang kukuh.
Namun pengasas Apple, mendiang Steve Jobs telah berjaya menyelamatkan syarikat itu dengan membuat kolaborasi dengan Microsoft meskipun tindakan tersebut dikritik hebat segelintir pihak pada awalnya.
Menurut mendiang, corak perniagaan di zaman ini memerlukan kerjasama membina di antara pesaing di mana permusuhan antara mereka hanya akan membawa kepada perkara-perkara yang merugikan antara satu sama lain.
“Apple memerlukan bantuan rakan perniagaan…hubungan yang membawa kemusnahan tidak membantu (perniagaan) antara satu sama lain di zaman ini.
“Kita perlu melupakan tanggapan ‘Apple menang, Microsoft kalah’,” katanya di satu seminar Macworld yang diadakan di Boston pada tahun 1997.
Akhirnya, kata-kata dan tindakan kolaborasi di antara dua taikun perniagaan, Steve Jobs dan Bill Gates, terbukti tepat serta menyaksikan kedua-dua syarikat milik mereka itu berkembang pesat sebagai peneraju dunia teknologi hari ini.
Begitu juga Air France dan KLM yang telah lalui jalan yang sama.
Kalau kita lihat syarikat-syarikat oil and gas juga berkolaborasi dalam operasi mereka, masing-masing masih mengekal identiti dan masih bersaing antara satu sama lain.
Selama 20 tahun MAS berkembang maju dan menjadi ‘duta kecil’ negara membawa nama Malaysia mengharum di serata dunia.
Dari hanya memiliki pesawat jenis Fokker dan Douglas DC pada awal pengoperasiannya, MAS kini memiliki pesawat jenis boeing dan airbus, serta mempunyai sekitar 20,000 pekerja yang menjadi nadi penggerak kepada kecemerlangan syarikat milik kerajaan (GLC).
Malangnya, memandangkan MAS merupakan satu perkhidmatan awam yang diwujudkan sebagai salah satu keperluan menyediakan khidmat kepada rakyat dan negara ini, ia tidak terlepas dari mengalami kerugian meskipun mencatat keuntungan ratusan juta ringgit di era kegemilangannya.
Situasi terkini MAS menunjukkan syarikat penerbangan negara yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia itu sedang berada di dalam keadaan ‘tenat’, ‘nazak’ dan ‘nyawa-nyawa ikan’.
Sekiranya keadaan tersebut tidak dipulihkan, dikhuatiri MAS akan kehabisan aliran tunai dan bankrap menjelang tempoh suku kedua tahun ini yang akhirnya akan menyebabkan lebih 20,000 kakitangan GLC itu kehilangan pekerjaan.
Dan malapetaka yang dijangka melanda MAS itu sewajarnya tidak boleh dibiarkan berlaku dan ia memerlukan ‘sentuhan ajaib’ bagi memulihkan GLC tersebut untuk kembali sebagai antara syarikat penerbangan terhebat di dunia.
Justeru itu, salah satu ‘sentuhan ajaib’ ini adalah kerangka kerjasama komprehensif (CCF) di antara MAS bersama syarikat penerbangan kos rendah ternama dunia, Air Asia untuk mengenalpasti kerjasama yang sinergistik.
CCF yang sinergi di dalam bidang seperti perolehan bersama, latihan, penyelenggaraan, pembaikan dan baikpulih pesawat (MRO), pengendalian darat dan urusan kargo dapat mengurangkan kos operasi serta meningkatkan daya saing masing-masing.
Dengan adanya kolaboratif yang saling melengkapi kecekapan teras kedua-dua pihak, maka kos tentu sekali dapat dikurangkan sebab ada jumlah, skala ekonomi dan rundingan untuk mendapatkan kos yang lebih memberi kelebihan bagi kedua-dua buah syarikat.
Dengan kerjasama berkenaan juga, kedua-dua pihak dilihat mampu berganding bahu saling membantu dalam memikul beban tugas dan berkongsi kreativiti serta pengalaman yang berkaitan untuk kepentingan bersama.
Bukan saja MAS dan Air Asia sahaja yang memperoleh kebaikan kerjasama ini, malah para penumpang pesawat mereka juga akan berpeluang untuk menikmati pilihan yang lebih baik untuk memilih penerbangan mengikut citarasa dan kemampuan masing-masing.
Sesungguhnya, kolaborasi di antara MAS – Air Asia merupakan satu kerjasama terbaik dan banyak memberi kelebihan kepada pemulihan serta penambahbaikkan MAS, khususnya berhubung beberapa perkara yang melibatkan penggunaan bahan api dan perolehan yang menjimatkan kos.
Sebagai contoh, Air Asia yang selama ini menghantar pesawat-pesawatnya ke Singapura untuk diselenggara, kini boleh berkongsi kepakaran dan kelengkapan penyelenggaraan milik MAS di Subang sebagai pusat penyelenggaraan kapal terbangnya.
Untuk apa Air Asia perlu susah-susah menghantar pesawat-pesawatnya ke Singapura untuk diselenggara sedangkan Malaysia sendiri memiliki prasarana, kepakaran, penjimatan kos dan rakan niaga yang lebih baik serta menguntungkan kedua-dua belah pihak?
Begitu juga dari segi perolehan, sama ada berhubung alat ganti pesawat ataupun penyediaan makanan, kos operasi akan dapat dikurangkan dengan memiliki skala ekonomi dan jumlah yang lebih berkesan.
Penjimatan kos yang terhasil dari kolaborasi antara MAS – Air Asia ini sememangnya banyak manfaatnya jika diperhalusi dengan lebih teliti. Berapa ramaikah gaji pekerja yang boleh dibayar dengan jumlah penjimatan sebanyak itu.Sebenarnya, kolaborasi di antara MAS – Air Asia ini masih baru dan memerlukan masa untuk dibuktikan keberkesanannya. Kalau belum mula dilaksanakan sepenuhnya pun sudah dikritik, agak payahlah MAS untuk bangkit semula dari ‘nazak’nya.
Justeru, MAS – Air Asia perlu diberikan peluang untuk berkerjasama untuk memastikan industri penerbangan negara ini kembali mencatat keuntungan dan memainkan peranan penting sebagai ‘duta kecil’ yang membawa nama Malaysia di seluruh pelosok dunia.
Dengan mengukuhkan kedudukan MAS dan Air Asia sebagai dua syarikat penerbangan utama, tidak mustahil kedua syarikat ini bakal memerlukan tenaga kerja yang lebih dan memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini.
BERKAITAN:
RENCANA ILMIAH
PANDANGAN TUN DR. MAHATHIR
KENYATAAN TAN SRI AZMAN HASHIM
Labels:
Ekonomi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment