SUASANA di luar ibu pejabat parti yang diterajui oleh Ang San Suu Kyi, 67, di Yangon, Myanmar kembali menjadi tumpuan para penyokong apabila mereka beramai-ramai berhimpun di hadapan bangunan tersebut.
Sambil mengibarkan bendera parti yang memaparkan imej seekor burung merak jantan sedang berlaga, mereka kelihatan begitu bersemangat kerana pejuang demokrasi tersebut bakal bertanding dalam pilihan raya umum dalam tempoh dua dekad.
Para penyokong berhimpit-himpit mengerumuni ikon demokrasi itu selepas dia mendaftar sebagai calon pilihan raya yang akan berlangsung 1 April ini. Pilihan raya itu bakal membawa suatu kuasa baharu dalam suasana politik Myanmar yang lebih separuh abad berada di bawah pemerintahan tentera.
Suu Kyi yang telah menghabiskan hampir dua dekad menjalani hukuman tahanan dalam rumah baru-baru ini bakal merebut kerusi Parlimen. Ia merupakan satu lagi perubahan dramatik dalam negara yang pernah dikenali sebagai Burma itu.
Parti yang diterajui oleh pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu pernah menang besar dalam pilihan raya tahun 1990 ketika dia masih lagi dalam tahanan rumah. Bagaimanapun, kemenangan tersebut tidak dipedulikan oleh pihak pemerintah.
Sapu bersih
Pada pilihan raya tahun 2010 pula, Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) telah memboikot pemilihan tersebut dengan mendakwa bahawa ia tidak adil. Pakatan Tentera menyapu bersih pilihan raya itu sekali gus memegang tampuk kuasa.
Tetapi dengan keyakinan baharu terhadap kerajaan, buat pertama kali, dia akan terlibat dalam pemilihan yang diperjuangkan seorang diri dengan rendah hati.
"Adakah saya mahukan perkara kemenangan? Saya tidak pasti. Saya tidak memikirkan apa-apa kecuali bekerja keras dan saya tidak takut melakukannya," kata Suu Kyi pada satu sidang media.
Sejak kebelakangan ini, rejim Myanmar telah mengejutkan dunia termasuk para pengkritik apabila melakukan beberapa langkah melibatkan gerakan reformasi seperti mengadakan dialog dengan pihak pembangkang, melepaskan tahanan politik dan mencari jalan damai dengan pemberontak etnik minoriti.
Pilihan raya yang bakal diadakan itu pula akan menguji cita-cita pihak pemerintah untuk menjadi lebih demokratik selepas menggantikan pemerintahan junta tentera pada bulan Mac tahun lalu.
Bagi rakyat Myanmar yang tinggal di dalam dan luar negara, mereka percaya tekanan Suu Kyi dalam pilihan raya tersebut pasti tidak melemahkannya. Dia akan terus memperjuangkan hak dan kehendak rakyat.
"Dengan memikirkan sesiapa sahaja ahli politik boleh terlibat dalam demokrasi Parlimen adalah perlakuan yang sangat bahaya. Saya fikir, kita patut sekurang-kurangnya bermula dengan rasa rendah hati," ujarnya.
Sehingga kini, Suu Kyi masih lagi mengekalkan popularitinya dalam kalangan rakyat Myanmar. Tetapi, masih lagi terdapat segelintir yang sangsi bahawa dia akan dipilih jika pilihan raya bebas dan bersih diadakan.
"Sudah pasti saya akan mengundi NLD kerana kami sayang Daw Suu (panggilan terhormat) dan Jeneral Aung San.
"Kami meletakkan kepercayaan kepadanya. Dia akan bekerja keras untuk rakyat dan negara," kata pemandu teksi di Yangon, Khin Aye.
Legitimasi
Malah, ada pendapat daripada pemerhati politik mengatakan bahawa pencalonan Suu Kyi itu secara tidak langsung memberi legitimasi kepada pihak rejim yang masih lagi menguasai Parlimen negara itu.
Parlimen Myanmar masih lagi didominasi oleh bekas-bekas jeneral dan sekutunya yang hampir satu perempat jumlah kerusi dikhusus kepada pegawai tentera tanpa ada proses pemilihan.
Sebanyak 48 buah kerusi akan dipertandingkan dalam pilihan raya yang bakal diadakan pada bulan April ini. Bilangan tersebut tidak cukup untuk mengugat suara majoriti yang dipegang oleh parti pemerintah.
Tetapi, ia sedikit pun tidak menjejaskan tumpuan wanita itu untuk terus memperjuangkan demokrasi.
"Risiko terbesar adalah individu dalam parti yang bersaing untuk menjadi calon dalam kalangan mereka," ujar wanita yang mendapat jolokan The Lady.
Di ibu pejabat NLD yang terletak di tengah-tengah Yangon, para penyokong, aktivis dan wartawan berkumpul di bangunan yang berhabuk dan buruk sebagai tanda sokongan.
Pada papan notis yang tergantung di ruang legar bangunan tersebut terpampang mengajak orang ramai menjadi ahli baharu parti itu.
Di aras satu ibu pejabat itu pula, Suu Kyi sedang mempengerusi sebuah mesyuarat dengan ahli jawatankuasa pusat parti manakala di aras bawah, pemuda-pemudi bersiap-sedia untuk menghadapi pilihan raya.
Kaum wanita secara terbuka menjual kemeja T, rantai kunci dan kalendar yang terpampang imej Suu Kyi dan bapanya. Satu pemandang yang tidak mungkin dapat difikirkan setahun lalu.
Khin Myat Thu, 28, menyertai NLD sejak lapan tahun lalu dengan mengikut jejak langkah ahli keluarganya yang lain. Datuk wanita itu pernah berjuang bersama-sama Aung San. Pada hari ini, komitmennya terbukti dengan menjadi jurucakap wanita parti itu.
"Majoriti atau minoriti di Parlimen tidak penting. Kami akan menegakkan hak undang-undang.
"Aung San Suu Kyi akan mendapatkan walaupun sedikit pengaruh dalam kalangan Ahli Parlimen. Oleh itu, proses demokrasi dapat diterima semua pihak," ujarnya bersemangat.
Rumah Suu Kyi di persisiran Tasik Inya, Yangon juga turut tidak henti-henti menerima kehadiran orang-orang ternama asing.
Pentas kecil untuk Suu Kyi berucap telah diubah ke kaki pintu bagi rakaman kamera manakala lampu solar turut dipasang di laman rumah bersama-sama bendera parti dengan simbol baharu.
Program rasmi parti tersebut telah pun didraf dan isu pertama risalah yang menjelaskan kempen NLD akan mula diedarkan pada minggu ini.
Harapan demokrasi
Dalam pada itu, Presiden Myanmar, Thein Sein berkata kepada pemberita asing, pihaknya tidak akan memandang ke belakang dalam melakukan pembaharuan demokrasi.
Dia turut mendesak kuasa-kuasa Barat menarik kembali sekatan yang dikenakan kepada Myanmar, malah berkemungkinan memberi jawatan dalam kabinet kepada ketua pembangkang, Suu Kyi.
"Jika rakyat memilihnya dan dia terpilih menjadi Ahli Parlimen, saya pasti Parlimen akan menerimanya. Itu adalah rancangan kami.
"Jika seseorang dipilih dan Parlimen bersetuju, kami akan menerima dia sebagai menteri kabinet," ujarnya ketika ditanya sama ada menerima Suu kyi dalam kabinetnya nanti.
Tegas Thein Sein di hadapan pemberita Washington Post, mereka sudah pun berada di landasan yang betul. Untuk menarik balik sebarang perubahan yang dilakukan tidak mungkin berlaku.
Terbaharu, menteri-menteri luar Kesatuan Eropah (EU) berkata, mereka akan menggantung larangan penggunaan visa terhadap presiden, timbalan presiden, ahli kabinet dan speaker parlimen Myanmar ke EU berikutan perubahan politik di negara tersebut.
Selain itu, para pemimpin itu juga membayangkan prospek untuk menarik balik lebih banyak larangan pada bulan April nanti jika perubahan yang dirancang berlaku dengan jayanya.
Menteri Luar Perancis, Alain Juppe berkata, pihaknya melihat keterbukaan pihak kerajaan untuk menjadi liberal dan demokratik dengan pembebasan banduan politik, membenarkan perhimpunan dan mengadakan pilihan raya.
"Jika proses pendemokrasian berjalan lancar, kami akan menarik balik larangan," katanya pada satu sidang akhbar.
BERKAITAN: RENCANA
No comments:
Post a Comment